Jalan Pintas Untuk Berjaya... Tiru Meniru!!

9:59 AM adam 0 Comments

                                 “Jalan pintas untuk berjaya, ikutlah apa yang orang berjaya buat!”
Begitulah pesan beberapa insan yang sudah berjaya dalam hidup masing-masing. Maksudnya mudah, tepat dan padat. Tak perlu nak berceramah dua, tiga jam. Tak perlu berseminar selama seminggu. Prinsip asasnya mudah, hendak berjaya dalam apa-apa jua bidang pun, ikutlah apa yang sudah dilakukan oleh mereka yang berjaya.

Bagilah 100 tips berjaya sekalipun, menjayakan 10 tips pun belum tentu lagi mampu. Kalau anda tak kenal dan tak tahu, apa sebenarnya si pemberi tips itu lakukan untuk berjaya.

Buku-buku pembentukan personaliti yang terkenal pernah saya baca, hampir kesemuanya mengkaji sikap dan personaliti individu-individu yang sudah berjaya. Jarang sekali penulis bercerita tentang idea dan teori sendiri. Kenapa? Sebab teori penulis itu belum terbukti. Pembaca mahukan blueprint kejayaan yang sudah terbukti dan berkesan. Pembaca sebegini kelompok terbesar yang dahagakan ilmu kejayaan. Oh, termasuklah saya juga.

Malah Allah s.w.t. sendiri pun berkata begitu;
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Al-Ahzab; 33:21)
Mengharapkan keredhaan Allah? Mahukan ganjaran terbaik di akhirat sana? Contohi Rasulullah, amalkan sunnahnya dan taati segala perintah Allah sw.t. Tak kira di saat susah atau senang.
Imam Malik r.a juga pernah berkata;

“Tidak berjaya akhir umat ini melainkan dengan apa yang dilakukan oleh umat sebelumnya. Kerana itu, untuk bina semula umat, kita kena kaji semula sirah dan sejarah tamadun Islam.”

Maka, kalau sesiapa mahu bertanya. “Apa petua nak berjaya dalam hidup?”
Saya jawab, “Ikut apa Nabi buat!”

Kalau tanya, “Apa petua jadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran?”
Saya jawab, “Ikut apa pelajar yang sudah berjaya buat!”

Jika disoal, “Apa petua nak jadi orang kaya?”
Saya balas, “Ikut apa orang yang betul dah kaya buat! Bukan ikut cakap orang mengaku dah kaya.”
“Oh, semudah itu?”

Ya, memang semudah itu. Mudah pada jawapannya. Namun sukar sekali untuk melakukannya.
Kenapa?

Nak Tiru Apa?
Ya, apa yang hendak ditiru atau diikut pada ‘idola’ kejayaan kita itu?
Ramai rakan saya di universiti dahulu memakai baju jersi Manchester United dengan nombor 7. Menyisir rambut ala-ala suku Mohawk. Kemudian tuck in jersi tersebut dengan dilondehkan keluar di bahagian belakang macam gaya Beckham di padang. Apakah mereka main bola sehandal David Beckham? Tidak, malah ada sebahagian mereka kaki bangku!
Kalau kita mahu menandingi kreativiti orang Jepun. Cukupkah dengan menonton manga Naruto sepanjang hari sambil mulut mengunyah sushi? Kemudian di masa-masa senggang, komik Dragon Ball dan majalah Kreko menjadi peneman. Ataupun, dengan memandu kereta Honda, Toyota dan Nissan menjadikan otak kita bijak tiba-tiba?

Jika anda mahu petah berpidato seperti Anwar Ibrahim, perlukah anda bercakap dengan nada sama seperti beliau? Membeli cermin mata di kedai yang sama beliau pergi, makan di tempat yang sama beliau singgah atau duduk berjiran dengan beliau di Segambut?
Ramai yang tersilap meniru. Apa yang ditiru bukan sesuatu yang membuatkan ‘idola’ anda itu berjaya. Anda tidak lebih daripada cuba menjadi ‘idola’ anda sendiri. Bukan meniru blueprint kejayaannya.
Meniru orang tidak sama dengan meniru kejayaan orang!
                                    
Jangan terpedaya. Setakat buat thumbsup tiap hari takkan buat anda berjaya.
 
Jadi Diri Sendiri
Beckham berjaya dalam bolasepak bukan kerana gayanya di padang. Dia berlatih dengan bersungguh-sungguh setiap hari. Apabila rakan-rakan lain menamatkan latihan, Beckham turun kembali ke padang dengan berlatih sendirian selama tiga jam. Kalau anda mahu sehandal Beckham, sikap bekerja keras dan serius ini yang patut ditiru.

Orang Jepun berjaya kerana menepati masa dan berdisiplin sudah menjadi budaya hidup mereka. Kalau anda mahu kreatif seperti bangsa Jepun, menepati masa mesti menjadi darah daging anda. Lewat seminit harus sahaja membuatkan anda mengalirkan air mata kekesalan.
Bukan buat muka rileks, “Alah, biasalah janji Melayu. Lewat setengah jam je”. Kemudian anda sembang berdegar-degar mahu mencontohi sikap orang Jepun. Maaf cakaplah, cakap tak serupa bikin!
Biar saya simpulkan, agar anda mudah memahaminya.

Setiap insan inginkan kejayaan dalam hidup masing-masing. Tak kiralah apa pun matlamat yang anda tetapkan, carilah orang yang boleh dijadikan ikutan dalam bidang yang anda cita-citakan. Cari mereka ini seperti anda mencari kunci kereta yang tercicir. Usahakan sampai jumpa.

Tanyakan mereka, perjalanan dan cara kerja yang mereka amalkan sehingga berjaya.
Prinsipnya, dapatkan maklumat yang betul daripada orang yang betul. Akhirnya pastikan anda meniru apa yang benar sahaja. Kerana yang benar itu datangnya daripada Allah dan Rasul.
Paling penting, jadilah diri anda sendiri.

0 comments: