Nilai Seorang Ustaz.

10:20 AM adam 2 Comments

Salam semua, di Malaysia sering kali istilah atau gelaran ustaz digunakan untuk mereka yang mengajarkan ilmu agama atau yang mahir di dalam ilmu agama. Sekitar pembelajaran saya, walaupun belum pernah ke negara arab. Namun, saya juga telah diberitahu bahawa gelaran ustaz ini adalah gelaran yang sangat tinggi di sana.

Di negara kita Malaysia, terdapat segelintir yang menganggap gelaran ustaz ini adalah suatu yang sangat rendah tahap atau levelnya kerana kita telah terbiasa dengan budaya di sini. Sesetengah mereka yang mengajarkan ilmu agama di Malayasia ini suka tidak suka menggelarkan diri mereka sebagai ustaz atau ustazah kerana mungkin menganggap ianya tidak setaraf dengan mereka. Mungkin mereka menganggap ianya terlalu tinggi. 
Walaupun begitu, ada juga yang menggunakan gelaran ustaz atau pun ustazah ini di hadapan gelaran yang mereka ada, dengan kata lain, mereka sangat bangga dengan gelaran ini kerana ianya adalah sesuatu yang sangat membanggakan mereka. Sehinggakan apa sahaja gelaran yang mereka dapat akan didahulukan dengan gelaran ustaz atau pun ustazah.

Saya juga memikirkan ada benarnya dan sebaiknya kita mengangkat mereka ini untuk menghargai mereka dalam menyampaikan ilmu. Saya mendapat tahu daripada Dr. Aizan yang menyampaikan syarahannya mengenai Kesarjanaan Sains Islam di Universiti Malaya bahawa ustaz atau ustazah ini di negara arab adalah untuk mereka yang bergelar Professor.

Bukan seperti di Malaysia, budaya kita menganggap ustaz atau ustazah ini sebagai golongan yang mengajarkan ilmu agama sahaja. Begitu juga dengan syarahan kelas Bahasa Arab di Fakulti Bahasa Universiti Malaya oleh Ustaz Abd Malek yang mengatakan bahawa perkataan ustaz itu sebenarnya datang daripada bahasa Parsi yang membawa maksud Professor di Universiti-universiti di negara arab.
Oleh yang demikian, tidak salahlah kita menggunakan gelaran ustaz bagi mereka yang mengajarkan ilmu agama atau pun apa sahaja ilmu yang bermanfaat. Cumanya mahu dikatakan di sini bahawa, gelaran itu amat tinggi nilainya kerana tanpa penyampaian ilmu mereka kepada kita, mungkin tidaklah kita dapat mempelajari ilmu-ilmu yang baru sebagai panduan dalam hidup kita. Juga janganlah kita merendah-rendahkan gelaran ini seolah-olah mereka ini tidak setanding dengan ilmu-ilmu lain seperti kejuruteraan, perubatan, matematik, ekonomi dan sebagainya. Jika ada yang beranggapan demikian, maka fikir-fikirkanlah apakah ilmu yang kita miliki itu lebih penting daripada ilmu mereka?

Petikan daripada Farid

KOMEN ADAM :
Adam tidak mahu komen tentang makna seorang ustaz atau ustazah tetapi Adam ingin menyentuh tentang anggapan segelintir masyarakat kepada seorang ustaz/ustazah. Sebagai contoh, seorang artis boleh dibayar hingga belasan ribu ringgit untuk suatu konsert yang melalaikan tetapi seorang ustaz/ustazah hanya akan dibayar ratusan ringgit untuk ilmu agamanya. Alasan mereka kerana ustaz dan ustazah ini ikhlas mengajar ilmu agama. Sekarang ini bukan keikhlasan yang menjadi persoalan tetapi cara kita menghargai ilmu. Kenapa terlalu berkira untuk ilmu akhirat tetapi sanggup membazir untuk perkara yang tidak bermanfaat.Kenapa terjadi begini?? Renungkan sendiri. Angkatlah martabat orang yang mendokong ilmu agama dan mencurahkan kepada anak bangsa..

2 comments:

adam said...

thanx azam.. Maksud saya adalah kadangkala kita terlampau berkira untuk membayar kepada ustaz yang datang menyampaikan ceramah. Padahal ustaz itu juga perlu mengisi minyak untuk dtg memberikan ceramah dan kuliah..

Tetapi kita sanggup membayar ribuan ringgit untuk menjemput selebriti bagi membuat pesta dan sebagainya. Inilah yang cukup saya pelik..

Anonymous said...

Terima kasih kerana mghargai org seperti kami.... Sama2 la kita brkongsi ilmu yg dianugerahkan... :-D

~ustazah comel~