“Isu Mengenai Industri ‘MLM’ Dalam Akhbar”

4:44 PM adam 0 Comments



MUKADIMAH

Sejak akhir-akhir ini, ramai yang memperkatakan tentang industri jualan langsung. Masyarakat mula terpanggil untuk memberikan pandangan dan pendapat apabila kisah ‘Swiss Cash’ sebuah syarikat yang dikatakan ‘Skim Cepat Kaya’ dibongkar oleh akhbar KOSMO baru-baru ini.
Salah sebuah akhbar yang berpengaruh mula mendapatkan pendapat dan pandangan masyarakat tentang ‘Skim Cepat Kaya’ dan apa yang mendukacitakan ialah, skim ini cuba dikaitkan dengan jualan langsung (MLM) yang telah terbukti sebagai salah satu penjana ekonomi Negara.
Pada tahun 2005 sahaja, industri jualan langsung telah menyumbang hampir 5.3 billion ringgit kepada ekonomi Negara, angka ini telah diberikan oleh Ketua Unit Jualan Langsung KPDN&HEP, En. Abu Samah Shabudin (kini Pengarah KPDN&HEP cawangan Pahang) pada April 2006 semasa perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin dan usahawan Uptrend di Palm Resort Putrajaya.
RM 5.3 billion bukanlah satu angka yang kecil. Ini jelas memperlihatkan betapa industri jualan langsung adalah industri yang mempunyai potensi dan masa depan yang cerah. Kami yakin angka ini akan terus meningkat dari masa ke semasa dengan adanya pelbagai program yang diatur dan dilaksanakan oleh pihak KPDN&HEP dan sudah semestinya masyarakat MLM mendapat banyak menafaat dan faedah hasil daripada program yang dianjurkan.


MENGENAI INDUSTRI JUALAN LANGSUNG:
Industri Jualan Langsung boleh dikategorikan kepada 2 jenis iaitu:
  1. Cara Lama (Tidak Bergantung Kepada Dunia Teknologi Maklumat Sepenuhnya).
  2. Cara Baru (Menggunakan Kelebihan Teknologi Maklumat Sepenuhnya).
Industri Jualan Langsung telah lama bertapak di Malaysia dan ramai juga yang telah mencipta kejayaan dan menikmati perubahan dalam kehidupan seharian bilamana mereka menerokai industri ini dengan bersungguh-sungguh, tidak kira samada cara lama ataupun cara baru, cuma cara baru lebih mudah dan lebih efisyen.


PERANAN MEDIA MASSA:
Media massa adalah merupakan satu medium yang amat penting didalam mendekatkan masyarakat kepada industri ini. Medium ini juga merupakan tempat untuk masyarakat membuat penilaian terhadap industri ini, namun, dengan mengambil kira pendapat dan pandangan beberapa orang (yang gagal) sudah semestinya masyarakat akan mendapat maklumat dan info yang negatif tentang industri jualan langsung. Adakalanya mereka yang menghantar dan memberi komen ke mediapun boleh berniat tidak baik demi untuk menjatuhkan sesebuah syarikat dan akibatnya industri MLM akan rugi. Industri MLM merupakan satu industri yang bernilai melebihi RM 5 billion, Sepatutnya pihak media bertanyakan soalan sebegini, ‘Mengapa masih ramai yang gagal sedangkan industri MLM berkembang dengan pesat?’ (Bukan hendak mengajar).

Salah satu artikel yang dipaparkan ialah:-
‘Betulkah Jualan Langsung Mampu Lahirkan Banyak Jutawan?’.
Oleh: Abdullah Hafiz (Ruangan Forum MS 12 Utusan Malaysia, 5 September 2006)
Pada saya, ini adalah soalan yang datangnya daripada mereka yang kurang arif tentang industri jualan langsung atau datang daripada mereka yang gagal dan kecewa. Rata-rata telah mengakui bahawa MLM adalah industri yang mampu melahirkan jutawan, di Amerika Syarikat jutawan yang lahir daripada industri ini terlalu ramai dan di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Lantaran daripada itu, jika yang menulis artikel tersebut benar-benar mengikuti perkembangan industri jualan langsung, saya percaya beliau tidak akan mempersoalkannya.
Sepatutnya beliau bertanya, ‘Mengapa Aku Tidak Menjadi Jutawan MLM’. Pada saya, apabila berlaku kegagalan ataupun kekecewaan, terlalu sedikit yang akan mengakui bahawa, kegagalan itu adalah berpunca daripada diri mereka sendiri. Akibatnya industri yang baik menjadi tidak baik pada pandangan mereka dan juga pada masyarakat yang tidak mengenali industri jualan langsung.

Beliau juga mempersoalkan, ‘Tidak perlu jual barang, hanya jual pakej produk’:-
Disini memperlihatkan betapa ceteknya pengetahuan beliau tentang industri jualan langsung. Jual pakej produk sudah terang-terang menunjukkan bahawa ada berlaku penjualan produk. Jika tidak tahu menari, jangan kata lantai jongkang-jongkit. Jangan menghukum syarikat ‘menangguk di air keruh’ jika kita tidak benar-benar faham.

Beliau juga ada mempersoalkan, ‘Harga produk tidak masuk akal, harga kopi RM 120 sekotak.
Pada saya, sepatutnya beliau bertanya dahulu apa faedah, kandungan yang ada atau kelebihan-kelebihan yang ada sebelum bersetuju untuk membeli. Kenapa sudah beli baru merunggut dan salahkan syarikat? Apa yang penting di sini ialah, memahami tentang kualiti produk dan bahan yang terkandung dalam produk tersebut. Untuk mendapatkan produk yang berkualiti sudah semestinya kita perlu mengeluarkan belanja yang lebih dan seperkara lagi kita perlu faham bahawa dalam industri jualan langsung ada melibatkan pembayaran komisen dan bonus, oleh sebab itu bonus yang dibayar oleh sesebuah syarikat dan kualiti produk yang ditawarkan kepada ahli juga memainkan elemen yang penting di dalam menentukan harga produk.

Dalam Artikel Yang Lain:
(Piramid – MLM Dan E-Dagang – IT – Islam)
Seorang Pensyarah Universiti tempatan berkata, ‘ Di atas kertas syarikat itu merupakan syarikat jualan langsung MLM tetapi cara operasi mereka menggunakan teknik Skim Piramid.
Kita sebagai pengguna ataupun masyarakat yang prihatin perlu memahami maksud sebenar ‘Skim Piramid’ dalam jualan langsung MLM. Segala bentuk atau aspek berkaitan kehidupan adalah berbentuk piramid. Pada pendapat saya di dalam MLM, piramid ada 2 jenis, satu yang dibenarkan dan satu yang tidak dibenarkan.

Piramid yang dibenarkan:
Apabila rangkaian bawahan (down-lines) boleh mengatasi rangkaian atasan (up-lines) dari 2 segi;
  1. Pangkat
  2. Pendapatan
  3. Tidak boleh ikut ‘Sistem Matrik’ dimana penajaan ahli baru dihadkan.
Fenomena Hibrid (MLM Dan E-Dagang serta E-Wallet):
Kita harus menyedari bahawa, semakin hari dunia semakin berubah, begitu juga dengan jualan langsung. Apakah kita mahu terus berada di takuk lama sedangkan orang lain sentiasa mengejar kemajuan. Islam sendiri mahukan umatnya sentiasa memperbaiki kehidupan kearah yang lebih baik pada setiap masa. Islam menuntut umatnya agar bersedia untuk menerima anjakan paradigma.
Apa yang penting ialah, niat, kejujuran dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu. Penerokaan dan menggunakan kelebihan sistem teknologi maklumat (IT) dalam membangunkan sesebuah perniagaan adalah satu medium penting, jika tidak kita akan ketinggalan. Oleh yang demikian, tidak salah kita memperkenalkan satu sistem baru (hybrid) iaitu Pelan ‘A’ (pelan cepat) dan Pelan ‘B’ (pelan master @ induk) serta memperkenalkan sistem e-wallet.
Pada saya, “Berusaha untuk mencari tajaan atau downline bukan satu kegiatan ekonomi yang sihat,” sepertimana pendapat pensyarah tersebut saya sangkal sama sekali kerana, tanpa rangkaian, bagaimana perniagaan boleh berkembang dengan pesat. Kenapa station minyak Petronas bersepah? Kenapa KFC bersepah? Kenapa McDonald bersepah? Dan banyak lagi yang bersepah-sepah, semua itu adalah kerana inginkan perkembangan perniagaan, begitu juga dengan MLM. Samalah seperti ketika Nabi Muhammad SAW mengembangkan Islam, Baginda berhijrah dari satu tempat ke satu tempat, lebih banyak hijrah yang Baginda lakukan maka lebih ramai yang memeluk Islam akhirnya Islam terus subur berkembang.
Semua syarikat MLM beriltizam untuk menjalankan perniagaan dalam jangka panjang dan bertahan lama. Ini hanya akan terjadi bila ada penajaan ahli baru dan juga maintain iaitu jual dan beli produk pada setiap bulan.

Dalam Artikel Yang Lain:
(Sudut Agama Islam):-
Seorang juruaudit yang belajar di sekolah agama berkata, ‘Ada sesetengah perniagaan MLM berunsur syubahah yang boleh jatuh hukumnya sebagai haram jika dilaksanakan’.
Benar, kita sebagai umat Islam tidak boleh pisahkan soal agama dalam apa juga perkara yang kita buat. Sebab itu, Allah memberikan kita akal dan fikiran, supaya kita dapat berfikir. Sebelum buat keputusan untuk menyertai mana-mana syarikat jualan langsung MLM, apa salahnya kita rujuk dahulu dengan mereka yang pakar dan arif tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama. Jangan main terjah sahaja.
Downline dan produk bolehlah diibaratkan bagai ‘lagu dan irama’ yang tidak dapat dipisahkan jika kita bercakap tentang perniagaan jualan langsung MLM. Kedua-duanya mesti menjadi fokus utama kita jika kita ingin berjaya. Apa yang penting ialah, kita harus mendidik, melatih, membimbing dan menerangkan perniagaan tersebut dengan betul dan jelas tanpa ada menyembunyikan sesuatu kepada downline. Ajar mereka tentang produk, ajar mereka tentang cara menggembangkan perniagaan, ajar mereka tentang sistem perniagaan dan saya pasti setiap amal baik itu pasti ada ganjaran yang menanti kita sebagai balasan.

Dalam Artikel Yang Lain:
(Rasa Tertipu Sebab Tiada Usul Periksa):
Seorang pengamal undang-undang rasa tertipu dengan syarikat jualan langsung yang beliau ceburi.
Saya rasa simpati terhadap beliau tetapi kenapa menjalankan perniagaan MLM tanpa usul periksa, main redah sahaja dan akibatnya tidak dapat bonus. Salah siapa? Sepatutnya sebelum menceburi atau menyertai sesebuah syarikat, selidik dahulu, siapa pengurusannya? Pengalaman pengurusannya? Ada rekod yang buruk ke sebelum ini? Sistem apa yang digunakan? Ada lesen (AJL) ke tidak?


INFO-INFO TAMBAHAN:
Bolehkah MLM Dianggap Sebagai Skim Pelaburan?
Boleh, tetapi bukan pelaburan yang berbentuk pasif (duduk diam dapat duit), ia adalah pelaburan yang berbentuk aktif, jika seseorang itu duduk diam tanpa melakukan apa-apa sudah pasti mereka tidak akan mendapat apa-apa pulangan daripada perniagaan MLM yang mereka jalankan. Ini adalah satu fakta yang jelas tentang industri MLM. Setiap ahli (pengedar) perlu melaksanakan 3 M dan mematuhi Akta Jualan Langsung (AJL).
  1. Menaja / Memperkenalkan Rakan Niaga Baru.
  2. Menjual Produk-Produk Yang Ditawarkan.
  3. Memberi Khidmat Kepada Rakan Niaga
Tanpa 3 elemen ini, adalah sukar seseorang usahawan MLM itu untuk mencipta kejayaan dan seterusnya bergelar jutawan MLM.


TIP MEMILIH SYARIKAT ‘MLM’:-
  1. Pastikan ada lesen AJL.
  2. Pastikan jika ada kemusykilan berhubung hukum hakam agama (Islam), rujuk dahulu dengan mereka yang arif (pandai).
  3. Pastikan latar-belakang pengurusan syarikat.
  4. Pastikan tiada masalah pembayaran bonus atau komisen.
  5. Pastikan pelan pemasaran diluluskan oleh KPDN&HEP.
  6. Pastikan produk mendapat kelulusan daripada pihak yang berkuasa.
  7. Pastikan syarikat ada menyediakan bengkel latihan kepada pengedar.
  8. Pastikan ada pengedar-pengedar yang sudah berjaya.
  9. Pastikan sistem yang diguna-pakai, telus atau tidak.
  10. Pastikan keberkesanan sistem menyokong kepada perkembangan perniagaan.
  11. Pastikan perniagaan mampu menerokai pasaran global.

ANTARA PUNCA-PUNCA KEGAGALAN:-
  1. Ingin lekas kaya dalam sekelip mata, bila tidak dapat, kecewa.
  2. Kurang ilmu dan pengetahuan.
  3. Jadi ahli ‘Pak Turut’. Ikut apa orang cakap tanpa rujuk.
  4. Salah memilih syarikat. Tanpa selidik terlebih dahulu.
  5. Tanpa melakukan apa-apa, harap duit datang ke riba.
  6. Banyak lagi……….

KESIMPULAN:-
Adalah diharapkan agar pihak media memperlihatkan keindahan industri jualan langsung dan perbanyakkan info-info yang positif supaya masyarakat lebih memahami akan industri ini dengan lebih jelas dan apabila mereka melibatkan diri nanti mereka akan menjalankan perniagaan dengan penuh etika dan tidak menyalahi mana-mana peraturan dan perundangan terutama dibawah Akta Jualan Langsung. Mereka juga tidak akan menyalahkan pihak lain bila mereka menemui kegagalan untuk bergelar ‘Jutawan MLM’.

DIPETIK DARIPADA : Posted in Rencana by Masrah on November 17, 2007
http://infoniaga.wordpress.com

0 comments: