Multi Level Marketing (MLM)

5:17 PM adam 0 Comments

Anda mungkin pernah mendengar mengenai MLM dari rakan-rakan, kaum keluarga malah mungkin pernah membaca buku, artikel atau forum di internet. Saya yakin banyak yang negatif daripada positif yang telah anda dengar. Ini kadangkala membuatkan ada diantara mereka yang terus menolak MLM tanpa mengetahui konsep sebenar perniagaan ini. Tahukah anda perniagaan berkonsepkan MLM telah bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1945? Ya… sudah lebih 60 tahun yang lalu! Mengapa perniagaan MLM ini dapat bertahan sebegitu lama? Sudah tentu kerana cara MLM ini memang terbukti dapat menjana pendapatan sampingan malah ramai yang telah menjadi Jutawan kerananya. Di Malaysia, perniagaan MLM mula bertapak pada era 70an lagi. Perniagaan ini juga adalah sah di sisi undang-undang dimana setiap syarikat yang menjalankannya perlu mempunyai lesen perniagaan dan tertakluk kepada Akta Jualan Langsung 1993 yang dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Kerajaan juga menggalakkan semua rakyat Malaysia menceburi bidang ini dengan menganjurkan Konvensyen dan Ekspo Jualan Langsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 2006.

Petikan dari Akhbar Berita Harian April 2006: “Persekutuan Jualan Langsung Dunia dalam laporannya 14 Mac lalu, mengiktiraf Malaysia sebagai negara keempat selepas Jepun, Korea dan Taiwan yang menghasilkan jualan tertinggi industri jualan langsung dengan pendapatan RM5.22 bilion”

BAGAIMANA MLM BOLEH MENGHASILKAN KEUNTUNGAN?
 
Produk yang dijual dengan kaedah biasa banyak menggunakan khidmat orang tengah untuk menyampaikan produk kepada pengguna. Sebagai contoh sebotol shampoo yang berharga RM10, mungkin kos sebenarnya adalah RM4 sahaja. Pengilang menjual kepada pemborong dengan harga RM5 manakala pemborong pula menjual kepada pengedar dengan harga RM7. Pengedar menjual kepada peruncit dengan harga RM9 yang menyebabkan pengguna membeli shampoo tersebut pada harga RM10. Selain kos mengedar, jenama shampoo tersebut perlu juga diiklankan. Maka tidak hairanlah harga produk meningkat dan yang menjadi mangsanya adalah pengguna seperti kita.
Perniagaan berkonsepkan MLM pula menggunakan kaedah berlainan dimana produk yang sama akan dibeli oleh pengguna dengan harga RM10, sama seperti harga biasa. Kosnya juga RM4. Tetapi keuntungan sebanyak RM6 tadi diagihkan terus kepada syarikat dan ahli-ahli MLM dalam bentuk bonus. Sebagai contoh syarikat MLM mendapat 40%, ahli MLM level 1 mendapat 30%, level 2 mendapat 15%, level 3 mendapat 5% dan seterusnya. Produk yang dijual pula tidak perlu diiklankan kerana faedah dan kebaikan produk disampaikan sendiri oleh ahli MLM semasa menjual produk. Kaedah sebeginilah yang membolehkan ahli MLM mendapat keuntungan berganda!

APAKAH CIRI-CIRI PERNIAGAAN BERKONSEPKAN MLM?
  • Modal permulaan yang rendah. Kebiasaannya Syarikat MLM akan mengenakan yuran penyertaan (sekali sahaja). Yuran ini untuk menampung kos menghasilkan ‘Kit Perniagaan’ dan menampung kos membangunkan sistem perniagaan.Mempunyai pelan pemasaran yang jelas.
  • Kebiasaannya anda perlu kekalkan minimum point value atau PV untuk melayakkan anda mendapat bonus.
  • Produk ditawarkan adalah pelbagai. Kebanyakkannya memerlukan anda mengambil barang di stokis. Namun, ada juga yang menggunakan kaedah ‘pos’ untuk menghantar barang.
  • Produk ditawarkan adalah berkualiti dan setanding dengan produk lain dipasaran.
  • Bukan perniagaan ‘Sistem Piramid’ dimana downline mengkayakan upline. Dalam MLM, downline boleh mendapat pendapatan yang lebih daripada upline sekiranya berusaha dengan lebih gigih.
  • MLM adalah perniagaan yang boleh diwarisi.
  • Menggunakan konsep Duplikasi iaitu downline meniru kaedah yang dilakukan upline. Jika upline mengekalkan 100PV setiap bulan, downline juga perlu mengekalkan 100PV dan seterusnya.
  • Mempunyai syarat tertentu untuk kenaikan pangkat. Sebagai contoh, perlu ada sekurang-kurangnya 5 orang downline.

MENGAPA ANDA PERLU SERTAI MLM?
Cara perniagaan MLM sememangnya telah terbukti. Pilihlah syarikat MLM yang menawarkan produk yang sememangnya anda gunakan. Bayangkan anda membeli sesuatu produk dengan harga yang lebih murah dan sekiranya anda berkongsi kebaikan produk tersebut dengan orang lain, anda berpeluang mendapat bonus-bonus seperti bonus ‘overriding’, bonus kepimpinan dan sebagainya. Menarik bukan? Anda tidak akan rugi malah mendapat pendapatan tambahan melalui barangan yang sememangnya anda gunakan (barangan keperluan anda). Jika anda tidak sertai MLM pun anda perlu membeli barangan tersebut bukan? Jadi apa salahnya anda mencuba? Jadikan MLM satu cabang pendapatan tambahan anda! Jika anda mendapat pendapatan tambahan RM500 setiap bulan dan melaburkan wang tersebut di ASB (purata kadar faedah 8% setahun), cuba anda ambil kalkulator atau kira guna ‘excel’ berapa yang anda dapat dalam masa 10 tahun? Anda akan mendapat RM 93,872.92!! Itu sekiranya pendapatan anda kekal RM500 setiap bulan. Perlu diingatkan pendapatan melalui MLM kebiasannya bertambah dari bulan ke bulan seterusnya disebabkan aktiviti penajaan oleh downline anda. Jadi, tidak hairanlah ada yang menjadi Jutawan dek kerana MLM ini. Sekiranya proffession anda sekarang sebagai seorang doktor, jangan bila dah berjaya dalam MLM nanti, anda berhenti kerja, kita akan kekurangan doktor pula. Jika anda seorang pelajar institusi pengajian tinggi, jangan disebabkan MLM ini, anda gagal dalam pengajian pula. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah pilihlah syarikat MLM yang tidak membebankan anda.

KESIMPULAN
Saya berharap artikel ringkas ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan pemahaman anda mengenai perniagaan berkonsepkan MLM dan dapat menjawab segala kemusykilan betapa AJAIBnya perniagaan ini seterusnya memulakan langkah ke arah menjadi seorang “pengguna yang bijak”. Akhir kata dari saya, pengguna yang bijak faedahnya banyak dan selamat berjaya dalam perniagaan MLM!

0 comments: