Suami Tiada Hak Ke Atas Pendapatan Isteri??
Salam semua,
Petang ini kita akan berbicara mengenai tanggungjawab seorang suami kepada isteri dan keluarga.
Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah menanggung nafkah isteri. Menanggung nafkah adalah bermaksud menanggung semua perbelanjaan isteri selagi mana perkahwinan masih wujud. Perbelanjaan itu meliputi perbelanjaan makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal serta perubatan.
Ketentuan syariat nafkah keluarga terdapat dalam Surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tiada memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran”.
Selagi isteri taat kepada suaminya iaitu dalam lingkungan yang dibenarkan syarak maka selama itu ia berhak untuk mendapat hak nafkah. Apabila suami tidak memenuhi kewajipan isteri berhak menuntutnya.
Justeru, tanggungjawab menyara keluarga adalah sepenuhnya terletak dibahu suami. Apabila sempurna saja ijab kabul sesuatu perkahwinan, maka tanggungjawab terus wujud dibahu suami. Umumnya suami yang bekerja mencari nafkah tetapi kebelakangan ini bukan saja suami yang bekerja mencari nafkah, malahan isteri juga turut sama menyumbang tenaganya di dalam pemerolehan keluarga serta membantu menaikkan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga. Ini kerana si isteri ingin membantu meringankan beban tanggungjawab suami.
Islam tidak melarang isteri bekerja membantu suami bagi tujuan itu, namun tanggungjawab sebenar bagi menyara keluarga masih tetap dibahu suami dan isteri adalah sekadar membantu serta melengkapi keperluan keluarga yang tidak lengkap. Sekiranya isteri bekerja dan dengan kerjanya itu mendapat izin suaminya, maka wang hasil yang diperolehi oleh isteri tadi adalah hak milik mutlak isteri dan suami tidak mempunyai hak untuk meminta wang gaji isterinya itu.
Sebaliknya jika suami meminta wang gaji isteri dan isteri memberikannya dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dengan niat untuk membantu suami ia tidak dianggap sebagai hutang kerana pemberian itu bukan atas dasar paksaan suami. Bahkan perkara ini sangat digalakkan kerana wujudnya sifat tolong menolong di antara suami isteri demi kebahagiaan keluarga. Sekiranya suami meminta duit dari isteri dengan cara memaksa dan tanpa kerelaan isteri sendiri, isteri berhak untuk menuntut duit itu daripada suami kerana ia dianggap sebagai hutang.
Wang gaji suami adalah hak suami. Berapa pendapatan beliau dan ke mana wang digunakan pada hakikatnya adalah hak suami dan puan tiada hak untuk mempersoalkannya selagi mana suami puan menjalankan tanggungjawab beliau kepada puan dan anak.
Namun begitu, perkahwinan adalah perkongsian dua insan yang saling menyayangi, maka wajar perbincangan diadakan. Suami wajar memberitahu isteri apa tanggungjawab kewangan yang perlu dia bereskan seperti suami perlu memberikan kepada orang tuanya sejumlah wang, membayar pinjaman bank, hutang dan sebagainya. Begitu juga dengan isteri, berbincang dan memberitahu suami apa tanggungan kewangannya, berapa ingin diberikan kepada orang tuanya dan sebagainya. Apabila perbincangan antara pasangan adalah telus dan jernih, dengan cara itu, hubungan perkahwinan akan menjadi lebih menarik dan bahagia.
Jadi secara jelas suami tiada hak untuk menggunakan pendapatan isteri untuk menyara keluarga melainkan atas kebenaran isteri serta melalui konsep saling membantu. Lakukan yang terbaik untuk keluarga dan janganlah kita tinggalkan keluarga dalam keadaan yang meminta-minta.
So apa pendapat kawan-kawan. Berikan pandangan anda supaya kita dapat berkongsi di sini...
KLIK BAWAH NI
4 comments:
saling bantu-membantu terbaik...
itulah yang terbaik sebenarnya.. Kerukunan dalam rumah tangga..
saling bantu membntu adalah yg terbaik..
takkn biarkn org yg tersyg berusaha sendirian mncri rezekikn..
Ramai para suami tak berapa paham perkara ni sebenarnya.
Ada yg buat tak kisah pasal keperluan isteri (pakaian, dll lain di rumah sebab isteri ada duit sendiri kan. Padahal tu adalah tanggungjawab suami.
Post a Comment